Ada satu perkara yang suka ana kongsikan bersama sahabiah semua. Tentu saja tentang cinta.. cinta yang perlu ada pada perkiraan ana selepas ana mencintai Allah dan Rasul-Nya.
Kasih yang ana kira perlu aku lempiaskan pada seseorang yang lain selepas ibubapa dan keluarga serta diri ana sendiri...
Ya.. cinta pada manusia biasa yang namanya lelaki kerana ana diciptakan sebagai seorang perempuan...
Umur yang semakin berinjak jauh meninggalkan alam remaja dan sekarang di dalam fasa kedewasaan memungkinkan ana berfikir tentang urusan jodoh. Seringkali persoalan itu ditanya kepada ana oleh teman-teman sekuliah dahulu.
"Tak ada buah hati ke?"
"Takkanlah tak ada yang minat dengan perempuan pandai macam enti ni?"
"enti ni jual mahal sangat kot?"
"Bergayalah sikit, bagi cantik, mesti nanti ada yang terpikat kat enti.."
"ana sudah, enti bila lagi?"
Aduh... mahu melayan satu-persatu pertanyaan mereka memang tidak terjawab. Paling mudah untuk ana katakan ketika itu,
"Belum jodoh lagi.."
atau ana katakan pada mereka,
"Belum bersedia lagi.. .nanti dah ada calon, akan diberitahu kelak".
Berbicara tentang cinta memang tidak akan pernah habis. Semasa di universiti dahulu seringkali ana melihat pasangan yang kononnya sedang 'hangat bercinta' bertengkar atas perkara-perkara yang kecil.
Kadang-kadang ana ketawa sendirian apabila melihat adegan pujuk-memujuk persis lakonan di dalam filem Hindustan yang ana tonton di televisyen. Bermacam-macam gaya yang ada apabila si lelaki cuba memujuk si wanita atau si wanita yang cuba memujuk si lelaki. Ana menggeleng-geleng kepala melihat gelagat mereka dalam tawa. Perkara yang pada ana tidak wajar dilakukan apatah lagi pasangan itu masih belum punyai ikatan yang sah dan halal di sisi Islam sedangkan si wanita bertudung dan si lelaki bersongkok.
Aana pernah dilamar seorang lelaki pada perkiraan ana dapat melengkapi kekurangan yang ada pada diri ana. Tentu sahaja ana mencari seorang lelaki yang mudah tersenyum, tegas dalam kelembutan, lucu dan boleh membuatkan ana gembira, dan yang paling penting dia seorang yang sangat menjaga solatnya dan ibadahnya. Cukup pada ana itu dan ana telah bertemu dengannya. Tapi, seperti yang ana katakan sebelum ini, cerita ini tentang jodoh...
Arakian, ana dilamar, ana menolak dengan lembut atas alasan kerana mahu menumpukan perhatian kepada pelajaran dan kuliah. Ini amanah yang ana pegang sejak mula ana menjejakkan kaki ke menara gading.
ana katakan pada ikhwah itu, sekiranya benar dia menginginkan ana menjadi suri hatinya maka tunggulah sehingga ana dan dia selesai bergraduasi. ana katakan juga bahawa ana tidak suka keluar berdua-duaan. Sekiranya seorang ikhwah itu benar mahu memiliki hati ana maka dia perlu memahami bahawa dia perlu lebih serius untuk mengatur masa depannya berbanding berpeleseran tanpa hala tujuan yang jelas.
Hubungan yang dijalin tanpa ada matlamat yang jelas bukanlah satu perhubungan yang bersungguh-sungguh tetapi hubungan yang terang-terangan berlandaskan nafsu semata-mata.
Sekali lagi ana katakan di sini, ianya soal jodoh. Allah punya perancangan yang lebih menarik untuk ana, terserah pada ana sahaja sama ada mahu mencari hikmah yang tersembunyi atau membiarkan diri ana sendiri tertanya-tanya mengapa kesudahannya begini dan begitu...
ikhwah itu tidak sanggup menunggu lantas mengambil keputusan mencari yang lain...
Ana sedikit kecewa namun ana bisikkan pada hati agar redha dengan ketentuan Ilahi. Dalam melayari kehidupan dan mehnah, ana belajar pelbagai perkara. Setiap hari ana belajar dan adakalanya mengajarkan sesuatu kepada yang lain. Benar, usia yang semakin bertambah membuatkan ana berasa gusar kerana masih tidak dipertemukan jodoh.
Hidup ana banyak dihabiskan dengan bekerja sebaik sahaja menamatkan pelajaran di universiti. Rakan-rakan lain ramai yang berlumba-lumba mendirikan rumahtangga dan ana masih lagi sendiri. Agak sunyi tapi ana tabahkan hati supaya ana tidak menjadi seorang yang terlalu menurut nafsunya.
Tiba saat rezeki ana dilebihkan Allah di mana ana diterima bekerja sebagai salah seorang pegawai psikologi. Tidak perlu ana ceritakan dengan tepat di mana ana ditempatkan. Sejak pertama kali ana menjejakkan kaki di sini, tidak pernah terlintas di fikiran ana untuk mencari pasangan hidup. Niat ana hanya mahu bekerja kerana Allah, mencari rezeki untuk keluarga ana agar kami dapat hidup dengan lebih selesa.
Sukacita sekali lagi ana maklumkan, bahawa ini semua urusan jodoh. Jodoh yang tertulis kemas di luh mahfuz, Salah satu rahsia agung yang tersembunyi dari pengetahuan hamba-Nya selain urusan umur, rezeki dan maut.
Salah seorang daripada orang bawahan ana yang usianya lima tahun lebih tua dari ana dan tentunya seorang lelaki benar-benar membuatkan jiwa ana bergetar. Entah kenapa, tapi ana takut ianya melalaikan dan bisa menghumban diri ana ke lembah kehinaan. Takut untuk terjerumus di dalam zina hati.
ikhwah itu kerapkali menguji ana dengan pelbagai pertanyaan. Tingkahnya yang kadang-kadang membuat ana tertanya-tanya kenapa dia perlu bersikap sedemikian dengan ana dan tidak dengan perempuan-perempuan yang lain di pejabat. Ana positifkan fikiran, mungkin juga kerana ana adalah orang atasannya dan wajar saja dia menghormati ana lebih daripada yang lain. Mungkin.
Satu hari, dengan izin Allah jua ianya terjadi, ketika sedang enak menjamu selera bersama rakan-rakan sepejabat pada waktu malam, satu rahsia tersingkap. Salah seorang rakan pejabat ana bertanyakan sama ada ana sudah punya kekasih hati atau belum. Satu soalan yang ana kira agak lucu untuk ditanya. Ana hanya tersenyum dan menggeleng.
Dia kemudian berkata, ada seseorang yang dekat dengan ana ingin menjalinkan hubungan yang lebih rapat dan serius. Ana dapat mengagak tapi ana meminta kepastian darinya. Nah! Jelas bahawa ikhwah di pejabat yang sama yang ana ceritakan sebentar tadi. Tepat telahan ana kali ini. Firasat ana jarang tersasar apatah lagi jika ana mohon agar Allah membimbing ana agar tidak menjadi orang yang berprasangka yang tidak baik kepada orang lain.
Hati ana menguntum senyum. Tentu saja rasa suka apabila diri disukai oleh orang lain yang bergelar lelaki. Ana senang sahaja bekerja dengannya. Selalu di dalam doa ana, ana memohon agar ana dijodohkan dengan seseorang yang baik akhlak dan agamanya, bersederhana dalam segala urusan, dan bonus bagi ana sekiranya lelaki itu seorang yang sedap mata memandang...
ikhwah itu juga hingga sekarang masih menguji ana dengan pelbagai pertanyaan. Ana cuma menjawab pertanyaannya sekadar yang ana mampu dan hingga saat ini tidak pula dia menyatakan sendiri kepadaana bahawa dia punya 'perasaan' pada ana. Ana juga begitu, walaupun setiap kali bertemu jiwa rasa tenang dan gembira.
Namun cepat-cepat ana sedarkan diri, khuatir kerana dia bukan siapa-siapa dengan ana malah bukan mahram yang layak untuk ana fikirkan tentangnya. Ana cuba tidak memandang tepat ke matanya kerana fitrah kewanitaan dan keperempuanan yang malu dan masih menebal dalam diri menjadi perisai iman yang ana takut makin terhakis.
Cuma satu yang ingin ana pesan pada rakan-rakan di luar sana yang masih belum punya 'pacar'.
Usah gusar dan khuatir.
Kamu tidak perlu merendahkan martabat diri demi untuk meraih cinta seorang lelaki. Ketahuilah, manisnya dan cantiknya seorang perempuan itu terletak pada taqwanya, hatinya yang sentiasa tunduk malu pada perkara-perkara yang tidak patut.
Ana tidak menyatakan yang ana ini tidak pernah berbuat dosa tapi ana berusaha untuk memperbaiki diri dan cuba mengelakkan diri daripada tergelincir ke arah itu.
Ingat, jika ada lelaki yang menyatakan dia menyukai kamu, tanyakan kembali apa yang dia mahukan daripadamu. Jika dia sekadar ingin bersuka-suka dan punya pacar persis seperti teman-teman yang lain maka jauhkanlah dirimu daripadanya.
Sekiranya dia benar-benar serius, mahu mengikat tali perkahwinan, punya kedudukan kewangan yang kukuh dan latar belakang keluarga yang menyamankan dan mendamaikan dirimu maka pertimbangkanlah permintaannya untuk menjadikan dirimu itu sebagai suri hidupnya.
Sekadar bercerita tentang jodoh. Sungguh betul, ianya urusan rahsia antara yang tersulit sekali di dalam keterbatasan pengetahuan manusia melainkan dengan izin-Nya.
Harus diingatkan, walaupun ianya urusan Allah, namun kita tidak pula diperintahkan untuk sekadar menanti dan berpeluk tubuh. Proaktif itu perlu. Carilah jodoh dengan cara yang diizinkan dan diredhai Islam atasnya kerana dengan itu moga hubungan kalian nanti juga akan direhai Allah, Insya-Allah.
Sekadar perkongsian rasa dengan rakan-rakan tentang urusan jodoh ana yang masih lagi samar. Moga sahaja Allah membantu di dalam urusan yang berkaitan dengannya dan menjauhkan ana daripada melakukan kemaksiatan hati mahupun tingkah perbuatan secara sir (rahsia) mahupun secara jahr (terang-terangan).
Jika benar lelaki itu jodoh yang dikirim Allah untuk ana meraih cinta yang lebih besar yakni cinta Ilahi maka ana redha.
ana tidak mahu mengatakan bahawa ana ikhlas menerimanya kerana perkara ikhlas itu milik Allah yang tiada manusia berhak menyatakan bahawa dia ikhlas. Biar Allah sendiri yang menghukumkan tentang itu.
Buat rakan-rakan ana yang mungkin sedang mencari jodoh atau telah bertemu jodoh, ana doakan agar kalian memperoleh jodoh sepertimana yang diinginkan olehmu.
Ketahuilah bahawa Allah memberikan apa yang kita perlu dan bukan yang kita suka kerana mungkin saja sesuatu yang kita suka itu akan menjadi satu keburukan suatu hari nanti.
Pasangan kita moga terdiri daripada si dia yang 'melengkapkan' kekurangan yang ada pada diri masing-masing agar kita lebih mudah berjuang meraih cinta-Nya....
Menantikan kalimah cinta daripada insan yang dicinta... moga kami meraih cinta-Nya, amin